PAS jangan sampai ‘meludah ke langgit jatuh ke muka sendiri’ – pemimpin DAP
NAIB Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yakin segala konflik yang timbul dalam Kerajaan Perpaduan akan dapat diuruskan dengan berhemah serta bijaksana.
Kenyataan itu bagi membidas dakwaan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menjangkakan akan berlaku konflik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Sheikh Umar berkata, Mohd Amar sepatutnya bermuhasabah diri sebelum mengeluarkan pandangan berkenaan kerana ia dibimbangi ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.
“PAS sendiri tidak pernah lekang dari konflik. Nik Amar perlu cermin diri. Sejak PAS bersama Semangat 46, Gerakan Rakyat (GERAK), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pun, konflik sentiasa wujud.
“Dalam sejarah terdekat PAS bersama parti-parti gabungan, PAS juga tidak dapat elak konflik khususnya selepas ketiadaan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.
“Pada waktu itu, konflik PAS ialah samada untuk meneruskan gabungan parti itu dalam Pakatan Rakyat atau berkerjasama dengan Umno yang disebut-sebut sebagai kelompok pro Unity Government atau UG,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, akibat kepimpinan PAS yang tidak dapat mengurus konflik dengan cermat, parti itu akhirnya terpecah dua sehingga lahirnya Amanah.
Katanya, Amanah mengekalkan pendirian mengukuhkan pakatan pembangkang lalu memasuki Pilihan Raya Umni Ke-14 (PRU14) bersama Pakatan Harapan (PH).
“Bahkan dalam PRU15 lalu, PAS berhadapan konflik apabila terdapat sekurang-kurangnya dua kelompok dalam PAS – kelompok yang mahukan Umno menerusi Muafakat Nasional dan yang ingin bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Mengulas lanjut, Sheikh Umar berpandangan bahawa konflik akan tetap berlaku apatah lagi dalam suasana politik negara yang semakin rencam ketika ini.
“Saya cukup yakin, dengan barisan kepimpinan serta kekuatan setiap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, segala konflik yang timbul akan dapat diuruskan dengan berhemah serta bijaksana,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, PAS melihat kerjasama yang dijalin parti-parti dalam kerajaan bagi menghadapi PRN tidak lama lagi hanya akan mencetuskan konflik sesama mereka.
Mohd Amar berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan pengalaman mereka bersama dengan Umno sebelum ini yang berakhir dengan kegagalan.
“Sebab pengalaman kita dengan Umno, mereka nak banyak kerusi, itu antara sebab kita (PAS) tak boleh bekerjasama dengan Umno dalam PRU ke-15 lalu. Dia nak jadi ‘abang besar’.
“Jadi saya jangka suasana sama akan dihadapi oleh mereka (BN dan PH) terutama di negeri-negeri yang pernah dikuasai Umno,” katanya. – Malaysiapost