PAS terbuka, sedia akaun parti disiasat SPRM – Mohd Amar

PAS terbuka, sedia akaun parti disiasat SPRM – Mohd Amar

NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan parti itu sentiasa bersikap terbuka dan akan bekerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya mahu menyiasat akaun PAS.

Bagaimanapun katanya, siasatan itu boleh dibuat jika ada keperluan dan berdasarkan tuntutan undang-undang dan bukannya berbaur dendam politik.

“Kita tidak mahu siasatan ini berdasarkan dendam dan bermotifkan politik. Jika ada keperluan dan tuntutan undang-undang, silakan. Kita akan bagi kerjasama,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu turut menyifatkan tindakan pihak berkuasa membeku akaun Bersatu minggu lalu lebih kepada mahu membalas dendam kepada Perikatan Nasional (PN) yang menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, sudah tentu pembekuan akaun itu menyukarkan parti Bersatu menggerakkan jenteranya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Dalam masa sama, Mohd Amar turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun semua parti dan jika ada kesalahan perlu diambil tindakan undang-undang.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan agensi itu membekukan beberapa akaun milik Bersatu, baru-baru ini.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut dipercayai melibatkan lebih RM300 juta. – Malaysiapost

Komen