Pasukan SMART kedua berlepas ke Turkiye malam ini – PM

Pasukan SMART kedua berlepas ke Turkiye malam ini – PM

MALAYSIA akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan seramai 20 anggota itu masing-masing melibatkan Angkatan Pertahanan Awam dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, kesemua pasukan seramai 70 orang itu akan berlepas ke Turkiye malam ini.

“Pasukan SMART yang pertama telah melakukan bantuan menyelamat sangat berkesan dan Turkiye memohon bantuan lagi.

“Penerbangan pasukan ini akan ditaja Turkish Airline dan ia telah mengurangkan beban kerajaan,” katanya selepas Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Semalam, seramai 70 anggota SMART yang tiba di Turkiye pada 6 pagi waktu tempatan telah digerakkan ke Adana bagi misi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara atau 987 km dari Istanbul.

Pasukan SMART menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang tiba di negara itu bagi membantu Kerajaan Turkiye untuk misi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi.

Sementara itu, Anwar berkata Kementerian Pertahanan turut mempersiapkan pasukan doktor dan parademik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyediakan hospital lapangan di Turkiye.

Beliau bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada keperluan dan situasi di sana.

Awal pagi Isnin lalu, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Turkiye pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan). – Malaysiapost

Komen