Pasukan SMART selamat tiba di ‘ground zero’

Pasukan SMART selamat tiba di ‘ground zero’

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah selamat tiba di ‘ground zero’ di Nurdagi, Gazientep, Turkiye, kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang berlaku awal pagi kelmarin.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui satu hantaran terkini di laman Facebook agensi berkenaan.

NADMA turut memuat naik video dihantar oleh pasukan berkenaan yang melaporkan perkembangan terkini mereka di Turkiye.

Tangkap layar video yang dikongsikan pasukan SMART

“Alhamdulillah Pasukan SMART, NADMA telah selamat tiba di Nurdagi, Gazientep. Semoga dipermudahkan urusan semua Team mencari dan menyelamat yang berada di lapangan,” menurut hantaran itu.

Berdasarkan video berkenaan pula, pasukan SMART dilaporkan baharu tiba di pinggiran bandar yang musnah teruk akibat bencana berkenaan dan mereka dalam perjalanan ke pusat bandar.

“Untuk makluman semua, kami telah sampai di pinggir bandar Gazientep. Ini baru pinggiran, kami belum ke pusat bandar.

“Ini adalah keadaan bangunan yang telah ada pasukan dengan jentera berat melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (SAR),” menurut rakaman video berkenaan.

Tangkap layar video yang dikongsikan pasukan SMART

Video berdurasi 34 saat itu turut memaparkan keadaan runtuhan bangunan akibat gempa bumi dengan beberapa kren dan jentera berat serta pasukan penyelamat sedang melakukan operasi SAR.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia akan menghantar Pasukan SMART kedua untuk membantu usaha (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Perdana Menteri, berkata pasukan seramai 70 anggota akan berlepas ke Turkiye malam ini.

Menurutnya penghantaran pasukan kedua itu adalah usulan keberkesanan pasukan pertama SMART yang dihantar pada malam Isnin lalu.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud dilaporkan menggegarkan selatan Turkiye pada jam 4.17 pagi Isnin lalu dan hingga kini angka korban dilaporkan mencecah hampir 10,000 orang. – Malaysiapost

Komen