Pekerja kilang didakwa guna dokumen palsu
SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh, hari ini atas dua pertuduhan menyamar dan menggunakan dokumen palsu bagi membeli sebuah motosikal pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Herman Yusof, 30, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Tan Chiew King dan mohon dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menipu dan menyamar menggunakan identiti ‘Faisal Hanif Rusli’ untuk membeli motosikal jenis Yamaha Y16ZR pada jam 1.20 tengah hari, 23 Ogos 2022 di Temerloh.
Pendakwaan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan kerana dengan curang menggunakan dokumen palsu iaitu kad pengenalan ‘Faisal Hanif Rusli’.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi kedua pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran bagi pada setiap Isnin pertama setiap bulan sehingga kes selesai dibicarakan.
Sementara itu, seorang pekerja kilang, Hermawati Arif, 29 didakwa bersuhabat membantu Herman mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama ‘Faisal Hanif Rusli’.
Dia didakwa mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Hermawati bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh juru bahasa mahkamah.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bercagar.
Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazieera Ra Sharifudin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes. – Malaysiapost