Sultan Nazrin cadang 4 kunci kejayaan untuk IPT mendepani abad ke-21
SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencadangkan empat kunci kejayaan bagi institut pengajian tinggi (IPT) mengharungi cabaran abad ke-21.
Cadangan itu disampaikan Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) dalam Titah Diraja bertajuk “Shaping University Leadership for The 21st Century Higher Education” di UM, hari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, memaklumkan Baginda berkenan mencemar duli menyampaikan Titah Diraja itu dalam majlis anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), UM.
“Dalam titahnya, Sultan Nazrin telah mencadangkan kejayaan IPT bukan sahaja merekrut pelajar cemerlang tapi juga mengekalkan dan melengkapi mereka untuk bersaing di pasaran global.
“Fakulti-fakulti di IPT perlu tingkatkan kualiti untuk hasilkan kajian bermutu tinggi dan komited dalam menyampaikan ilmu; kewangan IPT mestilah kukuh dengan persekitaran kampus yang mampan; dan IPT perlu mewujudkan sebuah visi yang terbaik bagi membina kesetiaan dan kesediaan para alumni untuk kembali berbakti dan berbudi,” menurut kenyataan itu.
Baginda turut menyeru IPT untuk memperkasakan minda para siswazah dengan subjek kemanusiaan yang pada pandangannya ia mampu melahirkan graduan berkepakaran tinggi.
Baginda bertitah, subjek berkenaan turut mampu memberi siswazah kearifan untuk menghalakan kepakaran mereka kepada sesuatu yang produktif dan bermanfaat untuk umat manusia sejagat.
Terdahulu, mengiringi keberangkatan baginda ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Ahmad Sany Megat Supian; Naib Canselor UM, Datuk Prof Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor; dan Pengarah AKEPT, Datuk Prof Dr Nasrudin Mohammed.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar, dan Pengarah Eksekutif Institute Asia-Eropah UM, Datuk Prof Dr Rajah Rasiah. – Malaysiapost