Angka korban gempa bumi Turkiye melepasi 12,000 orang

Angka korban gempa bumi Turkiye melepasi 12,000 orang

JUMLAH korban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye Isnin lalu, sudah melepasi 12,000 mangsa.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turkiye, seramai 12,391 orang terbunuh, manakala 62,914 yang lain cedera dalam gempa bumi yang berlaku dan berpusat di wilayah Kahramanmaras.

Wilayah lain di selatan dan timur Turkiye yang turut terjejas ialah Gaziantep, Hatay, Osmaniye, Adiyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

Lebih 6,000 bangunan runtuh dalam gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter itu.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika meninjau misi bantuan di Kahramanmaras, berkata pihaknya sudah menggerakkan semua sumber yang ada serta bekerjasama dengan majlis perbandaran terutamanya AFAD.

Lebih 13 juta orang turut terjejas akibat gempa bumi itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan akan menyampaikan bantuan kilat awal minggu depan untuk menyokong keperluan kemanusiaan di Turkiye, kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres selepas menandatangani buku takziah di Rumah Turki di New York, semalam.

Guterres bertemu dengan Duta Turki ke PBB, Feridun Sinirlioglu bagi menyampaikan ucapan takziah.

Beliau berkata PBB juga telah menghantar ketua bantuan kecemasan Martin Griffiths ke Turkiye.

“Martin Griffiths berada di Gaziantep. Beliau juga akan ke Aleppo dan kami cuba sebaik mungkin untuk menggerakkan bantuan PBB,” katanya. – Malaysiapost

Komen