Cuaca sejuk cecah -4 darjah Celsius cabaran anggota SMART di Turkiye
PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berdepan cabaran besar apabila terpaksa bertugas dalam suhu sejuk mencecah paras negatif dalam misi bantuan gempa bumi di Turkiye.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi hantaran Facebook memaklumkan, suhu di Gazientep iaitu lokasi pusat operasi SMART 1, kini mencecah negatif empat darjah Celcius.
Dalam hantaran sama, Nadma memuat naik rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan anggota SMART sedang berehat sebelum menyambung operasi.
“Rakaman menunjukkan suasana di Base of Operation Pasukan SMART MAS – 01. Suhu di Gazientep, Turkiye menunjukkan -4 darjah celsius.

“Mari sama-sama kita doakan agar kesihatan para anggota SMART, NADMA pada tahap yang baik agar mereka dapat melaksanakan operasi SAR dengan lancar,” tulis hantaran itu.
Terdahulu, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, gempa bumi susulan dan cuaca sejuk antara cabaran besar bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) pasukan SMART di Turkiye.
Namun katanya, beliau yakin dengan kemampuan dan kecekapan pasukan SMART dalam mengawal situasi bencana.

“Hari ini mereka baru masuk ke ‘ground zero’ dan antara kesukaran yang bakal mereka hadapi antaranya struktur bangunan tidak stabil, cuaca sejuk, selain gempa bumi yang masih berlaku,” katanya.
Terdahulu, Malaysia menjadi antara pasukan negara asing yang pertama tiba di Turkiye bagi membantu kerajaan negara itu dalam SAR mangsa tragedi gempa bumi yang kini sudah meragut lebih 12,000 nyawa, Isnin lalu.
Seramai 70 anggota pasukan itu selamat tiba di Istanbul digerakkan ke Adana bagi misi SAR di kawasan berkenaan yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara atau 987km dari Istanbul. – Malaysiapost