Hafidz Roshdi jelaskan kenapa gambar isteri ‘hilang’ di media sosial

Hafidz Roshdi jelaskan kenapa gambar isteri ‘hilang’ di media sosial

PELAKON Hafidz Roshdi, yang baru-baru ini terpalit kontroversi berlaku curang dan menghantar pesanan tidak senonoh, tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Pelakon berusia 29 tahun itu berkata pada awalnya dia terkejut kerana ‘dihentam’ menerusi media sosial kerana kontroversi tersebut.

Menurut Hafidz, dia tidak memadam gambar-gambar bersama isterinya di Instagram, tetapi memilih untuk menetapkan privasi.

“Saya buka Instagram (IG) ketika solat Jumaat dan tiba-tiba, dapat tahu. Saya tak tahu daripada timbul cerita ini, jadi saya tak tahu nak cakap apa.

“Isteri tanya ‘mana dapat cerita, mana datang pula awak macam ini’. Saya dapat banyak komen dan terkejut. Ada orang cakap saya tak muat naik gambar isteri. Sebenarnya, saya tak muat naik sebab nak jaga privasi.

“Saya ambil nasihat orang-orang sekeliling muat naik hantaran soal kerja sahaja. Kalau kisah peribadi, saya kurangkan bukan tak ada. Kalau boleh, hanya kerja sahaja.

“Saya tak padam, cuma simpan dalam arkib IG, nak jaga privasi isteri. Sebab isteri untuk tatapan suami bukan untuk orang ramai. Isteri untuk saya sahaja,” katanya dalam temu bual sebuah rancangan hiburan.

Bagaimanapun, pelakon Bisik Bisik Gelora itu tidak mahu mengendahkan hal tersebut.

“Ini ujian untuk saya. Saya pun sudah lama tak jadi hero, nak saman kena guna duit banyak.

“Bukan saya orangnya nak saman-saman… Kalau benda betul atau sebaliknya, terpulang pada netizen nak percaya atau tidak. Siapa yang kenal saya, mereka tahulah,” katanya.

Katanya, dia menerima apa yang berlaku adalah asam garam bergelar selebriti dan menerima dengan hati terbuka.

“Saya fikir isteri dan anak-anak serta air muka keluarga saya. Saya tak akan buat perkara seperti itu. Saya rasa orang ‘berkampung’ dalam IG tidak kenal saya, jadi buat dakwaan macam-macam.

“Ada hikmah terbaik pada masa akan datang, mana yang baik ambillah contoh, yang buruk jauh-jauhkan. Saya pun ada perangai yang tak baik.

“Bila buat salah, kita jangan jatuh hukum dengan mempermainkan agama. Kesilapan bukan salah agama, tetapi diri sendiri,” katanya.

Sebelum ini, kontroversi mengaitkan seorang pelakon lelaki yang didakwa bertindak memadam semua gambar-gambar bersama isterinya di media sosial.

Netizen menghidu pelakuan aktor yang meningkat naik dengan drama-drama tempatan itu membuat spekulasi bahawa rumah tangga pelakon itu dilanda masalah.

Lebih mengejutkan apabila dilaporkan isteri kepada pelakon itu terpaksa berdiam diri berikutan bergantung sepenuhnya kepada suaminya kerana hanya suri rumah sepenuh masa. – Malaysiapost

Komen