Hannah Yeoh ajak pimpinan KBS bersenam setiap Rabu
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerapkan budaya baharu dengan menggalakkan pimpinannya untuk bersenam setiap Rabu, mengikuti program Institut Sukan Negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pimpinan kementerian itu digalakkan untuk mengikuti sesi bersenam selepas mesyuarat pasca Kabinet, selama 22 minggu.
“Budaya baru yang mahu diterapkan dalam pembuat dasar di Putrajaya – supaya kami memahami nilai kesukanan, semangat team work dan konsistensi.
“Pasukan yang kerja bersama, bermain bersama,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Usaha Ahli Parlimen Segambut itu mendapat pujian warga media sosial, atas keprihatinannya terhadap peningkatan taraf kesihatan melalui pembudayaan hidup sihat.
“Patut dicontohi oleh kementerian lain dan diterapkan ke sekolah-sekolah. Supaya sentiasa cergas dari segi mental dan fizikal,” kata Sudhir Damodhan.
“Bertindak lebih baik daripada bercakap. Pemimpin hebat daripada contoh yang baik. Boleh dilaksanakan di semua bahagian,” kata May Har Lee. – Malaysiapost