J-KOM jambatan hubungkan kerajaan dan rakyat – Agus
PROF Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang baharu seminggu menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) mengakui tugas besar dipikulnya dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan.
Malah, bekas Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu mengakui tidak lagi memiliki masa-masa senggang sebelum ini lantaran sibuk mengetuai pasukannya dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
“Sejak melapor diri bertugas di J-KOM seminggu yang lalu, ini baharu kali pertama saya menulis. Posting terakhir saya adalah pada 2 Februari. Waktu itu tulisan saya sederhana, untuk memaklumkan saya telah melapor diri dan mula bertugas.
“Saya juga menyatakan serba sedikit hala tuju J-KOM yang hendak saya bawa. Intinya adalah sebagai jambatan untuk menghubungkan kerajaan dengan rakyat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
“Dasar apakah itu? Tentunya Malaysia Madani,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas mengenai kesibukan tugas baharunya, Mohammad Agus berkata, kesibukan bekerja telah menyebabkan beliau berhadapan kekangan berinteraksi dengan netizen di media sosial.
“Satu yang saya rasakan sejak mula bertugas ialah saya tidak lagi mempunyai masa untuk menjawab komen kawan-kawan dalam Facebook dan Instagram saya.
“Menjawab komen, baik yang memuji atau berbeza pandangan adalah sesuatu yang mematangkan. Namun, kemewahan masa itu sudah tidak ada lagi.
“Saya memohon maaf jika tidak lagi menjawab pertanyaan dan komen kawan-kawan. Berikan saya sedikit masa untuk beradaptasi dengan suasana baharu, mengurus pejabat, dan merancang kegiatan aktiviti J-KOM,” katanya.
Pada masa sama, Mohammad Agus turut mengharapkan doa daripada semua pihak agar pasukannya berjaya mengendalikan tanggungjawab yang diamanahkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, dalam banyak kekurangan saya, staf J-KOM dari TKP, pengarah-pengarah bahagian, dan staf lainnya telah membantu, membimbing dan menyokong saya. Mereka adalah nadi J-KOM yang bekerja kuat untuk melaksanakan tanggungjawab ini.
“Insyallah, kami di J-KOM akan membaiki kelemahan dan kekurangan yang ada. Saya dan staf J-KOM akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi hasrat semua.
“Jangan lupa ikuti kami di semua saluran media sosial J-KOM. Masih banyak kekurangan, tetapi dari semasa ke semasa kami akan memperbaiki kekurangan ini. Doakan kami,” katanya.
Pada 2 Februari lalu, penganalisis itu telah dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM yang baharu di Jabatan Perdana Menteri. -Malaysiapost