Jakim, Jawi laksana kutipan derma bagi Turkiye, Syria

Jakim, Jawi laksana kutipan derma bagi Turkiye, Syria

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan melaksanakan kutipan derma di masjid-masjid di bawah seliaan masing-masing, bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kutipan akan dibuat pada setiap Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bermula esok.

Katanya, kutipan derma bagi masjid seliaan Jakim adalah (Masjid Negara; Masjid Putra; Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya), manakala Jawi melaksanakan kutipan derma di masjid/surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Sumbangan umat Islam ini akan disalurkan kepada tabung rasmi yang diuruskan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengesyorkan kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri untuk turut mengadakan kutipan derma dan sumbangan umat Islam menerusi masjid-masjid di seluruh negara untuk disalurkan kepada program bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria.

“Semoga sumbangan kecil kita semua akan dapat membantu urusan menyelamat dan meringankan beban mangsa bencana di Turkiye dan Syria yang kini sedang dilanda ujian besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Malaysia menyalurkan bantuan berjumlah lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria berikutan kejadian gempa bumi dahsyat melibatkan kedua-dua negara itu pada Isnin lalu. – Malaysiapost

Komen