Kemunculan Dr Mahathir ubati kerinduan ramai

Kemunculan Dr Mahathir ubati kerinduan ramai

SEJAK mengalami kekalahan sehingga hilang wang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad seakan menyepikan diri daripada arena politik negara. 

Malah tiada lagi perkembangan menarik daripada bekas Perdana Menteri itu menerusi media arus perdana mahu pun media sosial. 

Namun, hantaran di Facebook miliknya hari ini pastinya mengubat kerinduan ramai terhadap tokoh negarawan itu. 

Menerusi hantaran berkenaan, Dr Mahathir berkongsi perasaan teruja dan gembira beliau apabila diwawancara oleh seorang personaliti cilik, Umar Amirul Shakur Haiccal, untuk satu saluran di Youtube.

Dr Mahathir, 97, ditanya pelbagai soalan yang jarang-jarang diterimanya sebagai seorang tokoh politik.

“Umar baru berusia 12 tahun dan minat bola sepak. Tanya Umar, macam mana nak capai umur 97 tahun. Saya jawab kena tunggu lagi 85 tahun lagi baru tahu macam mana boleh capai.

“Dalam temuramah tadi, saya cukup seronok dengar celoteh Umar dan dia begitu petah bercakap.

“Banyaklah soalan ditanya umpamanya bagaimana saya di zaman bersekolah, apa pesanan ibu saya, kenapa bina KLCC, Putrajaya, KLIA, pandangan bolehkah jadi influencer saja tanpa belajar dan banyak lagi,” katanya.

Dr Mahathir turut mendedahkan kepada Umar yang bertanya mengapa dua buah topeng watak-watak siri francais Star Wars, The Mandalorian dan Darth Vader, diletakkan di pejabatnya.

“Sebenarnya helmet ini dicetak mengguna 3D-printer. Saya berminat dan beli printer ini untuk buat sendiri beberapa barang, cumanya perlu belajar program dan sabar tunggu hingga siap.

“Kalau dahulu saya ukir kayu guna pisau dan tangan, sekarang semuanya pakai mesin. Lebih mudah. Cuma perlu faham dan mahir untuk program mesin saja,” katanya. 

Dalam hantaran itu, Dr Mahathir turut memuat naik beberapa foto dan klip video temu bual antaranya dengan Umar.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut ‘sporting’ melayan keletah Umar apabila diminta membuat posing ‘mini love’.

“Sengaja saya usik minta jelaskan apa itu ‘mini love’. Yang saya faham, rapatkan ibu jari dan jari telunjuk tu… itu simbol minta duit!

“Umar terangkan simbol love asalnya besar, kena guna dua tangan untuk cantum jadikan love, tapi ada orang cipta pula simbol love dengan dua jari. Pandai dia menjawab,” katanya. 

Sebelum mengakhiri pertemuan itu, Dr Mahathir berkata, beliau telah menitipkan pesanan buat personaliti cilik berkenaan.

“Saya pesan kepada Umar, rajin-rajinlah belajar supaya masa depan lebih terjamin. Semoga impiannya tercapai suatu hari nanti. InsyaAllah,” katanya. 

Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan personaliti cilik berkenaan sangat bertuah kerana dapat bertemu dengan seorang negarawan hebat. 

Ramai yang memberi komen mendoakan  kesihatan agar kesihatan dan kesejahteraan buat Dr Mahathir.

“Bertuah Umar dapat jumpa Tun. Semoga Umar mewarisi kepintaran dan sikap budiman Tun ada bila besar nanti.

“Bilalah boleh jumpa Tun depan-depan. Dari zaman sekolah teringin nak jumpa masa di kampung selalu tengok TV, sampai sekarang dah kerja di semenanjung pun teringin sangat nak jumpa. Moga Tun sentiasa sihat.

“Tun tetap idola dan inspirasi untuk anak-anak dan generasi akan datang. Semoga satu hari nanti lahir seorang lagi pemimpin hebat seperti Tun untuk Malaysia,” komen netizen. -Malaysiapost

Komen