‘Kenapa susah sangat beri rakyat keluar KWSP?’ – soal Tun Faisal

‘Kenapa susah sangat beri rakyat keluar KWSP?’ – soal Tun Faisal

BEKAS Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempertikaikan keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rakyat memerlukan.

Tun Faisal turut membidas pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak prihatin dengan nasib rakyat yang ketika ini amat memerlukan pengeluaran berkenaan.

“Apa yang susah sangat nak bagi rakyat keluarkan duit KWSP mereka sendiri? Bukan duit kerajaan pun.

“Sepatutnya PM10 (Anwar) mengutamakan rakyat, bukan mempertahankan institusi seperti KWSP yang hidup melalui caruman rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Tun Faisal berkata, beliau percaya jumlah mereka yang mahu mengeluarkan caruman berkenaan tidaklah terlalu ramai kerana bukan semua rakyat memerlukannya.

“Bukan ramai pun yang nak keluarkan. Bukan semua rakyat yang terdesak dan memerlukan. Jadi benarkan saja lah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan kekal memutuskan tidak membenarkan pengeluaran KWSP menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan KWSP.

Katanya, kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

Anwar berkata demikian mengulas desakan pelbagai menggesa kerajaan mengutama dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan, termasuk membenarkan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2023. – Malaysiapost

Komen