Kerajaan tidak benarkan pengeluaran KWSP – PM

Kerajaan tidak benarkan pengeluaran KWSP – PM

KERAJAAN memutuskan tidak membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan kekal dengan keputusan bagi mencari usaha mengurangkan beban tanpa memberi impak terhadap pemegang akaun ketika menghadapi hari persaraan nanti.

“Kita sudah perjelaskan, dahulu diminta dikeluarkan, banyak dikeluarkan jadi yang tinggal RM10,000, RM5,000, yang hendak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita, ada RM5,000, RM10,000 hendak keluar, pencen empat tahun lagi apa hendak jadi?

“Betul (pengeluaran untuk kelangsungan hidup) tetapi kalau wang dia ada tak apa, kalau wang tidak ada. Ada RM5,000 tinggal RM3,000, jadi kalau dia pencen esok ada yang hendak pencen dua tahun tiga tahun lagi,” katanya.

Anwar berkata, keutamaan kerajaan kini melibatkan penyelesaian isu asas termasuk keselesaan rakyat serta jaminan bekalan makanan disamping perbelanjaan pembangunan digital.

“Bajet saya sudah jelaskan keutamaannya adalah untuk tangani defisit, digital dan keterjaminan makanan, keselesaan rakyat dan masalah kos sara hidup.Yang lain saya akan umumkan masa Belanjawan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan sudah pun membenarkan pengeluaran khas daripada Akaun 1 dan 2 KWSP melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra masing-masing April 2020, Januari, Mac serta Ogos 2021 bagi membolehkan rakyat berdepan tekanan ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Terdahulu, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.

Presiden PGIR, Azmi Mohd Tahir, berkata angka itu diperoleh berdasarkan kajian senarai pencarum yang dijalankan pihaknya.

Katanya, sebelum ini, kerajaan membenarkan pengeluaran caruman kepada tujuh juta pencarum, namun tiada mana-mana agensi yang membuat kajian, yang dapat membuktikan semua itu adalah pencarum yang betul-betul susah. – Malaysiapost

1 Comment

  • Abd husny Hassan

    Kalau bukan duit kita, untuk kelansungan hidup,duit dari mana kita nak dapat,dah lah kena berhenti kerja ,nak minta kerja usia dah lanjut,simpanan duit kwsp ade lebih dari 100000, jadi tak faham kenapa masih ade segelintir pihak menidakkan hak duit rakyat untuk kelangsungan hidup.
    Mohon faham masalah rakyat.

Komen