Kerajaan tumpu selenggara jalan Persekutuan

Kerajaan tumpu selenggara jalan Persekutuan

BAJET 2023 akan memberi tumpuan penyelenggaraan jalan Persekutuan berikutan keadaannya yang teruk dan tidak memuaskan ketika ini. 

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata, isu jalan Persekutuan yang kurang diselenggarakan antara yang kerap diutarakan dalam sesi dialog Belanjawan 2023 di kebanyakan negeri.

“Apabila saya pergi ke negeri-negeri lain, antara yang besar (sering diutarakan), mengenai penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan. Ini perkara yang menjadi isu utama.

“Jalan-jalan negeri dan kampung peruntukannya agak mencukupi. Di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) misalnya untuk penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan peruntukan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pula untuk jalan-jalan kampung.

“Masalahnya ialah bagaimana jalan-jalan Persekutuan kurang diselenggarakan dan ini menjadi antara perkara utama yang ditimbulkan pihak yang bertanya termasuklah exco kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, beliau berharap Kementerian Kerja Raya (JKR) dapat mengatasi masalah itu sekali gus memberi peruntukan yang dimohon.

“Contoh kita ada Jalan Gerik-Jeli, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan Jalan Tapah-Ringlet di mana jalan-jalan Persekutuan itu kurang diberi tumpuan dari segi penyelenggaraan dan ini (masalah) berlaku di banyak negeri.

“Ini antara perkara yang saya kira agak besar dan tumpuan patut kita berikan,” katanya.

Pada masa sama Ahmad berkata, antara perkara yang turut diutarakan dalam sesi dialog berkenaan berkaitan bantuan kepada masyarakat Orang Asli termasuk perumahan untuk golongan itu.

“Program bina rumah ini kita maklumkan sebanyak RM1.5 billion telah diperuntukkan tahun lalu yang mana 11,000 unit Program Perumahan Rakyat melibatkan (kos) RM398 juta, 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RM315 juta) manakala program bantuan bina rumah baharu termasuk senarai untuk Orang Asli dan senarai e-kasih sebanyak 14,000 unit.

“Saya yakin ia masih berbaki RM361 juta, saya kira boleh diasingkan atas penyediaan untuk Orang Asli. Kita berharap ada lagi perkara yang boleh diberikan untuk manfaat Orang Asli,” katanya. -Malaysiapost

Komen