Kit Siang dakwa ada dalang cuba tamatkan hayat Kerajaan Perpaduan
VETERAN DAP, Lim Kit Siang mendakwa terdapat dalang yang sedang berusaha sedaya-upaya untuk menamatkan hayat Kerajaan Perpaduan.
Kit Siang berkata, beliau tidak mahu Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim digulingkan oleh satu lagi konspirasi politik seperti Langkah Sheraton.
“Kerana inilah saya memberikan amaran berulang kali bahawa terdapat dalang yang sedang berusaha sedaya upaya untuk menamatkan hayat kerajaan perpaduan Anwar sebelum lengkap penggal lima tahunnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Kit Siang tidak mendedahkan dengan terperinci berhubung perkara itu.
Dalam perkembangan lain, Kit Siang mencadangkan sidang Parlimen bermula Isnin depan patut memulakan inisiatif reformasi institusi.
Beliau berkata, ia bagi membolehkan negara mencapai matlamat berganda untuk menyatukan masyarakat majmuk dan juga mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.
“Sidang Parlimen yang akan datang ini patut meluluskan suatu Piagam Integriti Awam untuk melonjakkan kedudukan Malaysia menjadi salah satu negara terbaik di dunia.
“Ia termasuk dari segi integriti awam dan usaha membanteras rasuah, di mana kegembiraan rakyat Malaysia menjadi keutamaan tertinggi kerajaan, bukannya kegembiraan golongan kroni dan kelas ahli politik,” katanya.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, pengakuan Anwar bahawa Malaysia tertinggal di belakang negara jiran adalah petanda baik bahawa negara tidak lagi terjangkit dengan sindrom penafian.
“Kita tidak lagi terjangkit dengan sindrom untuk menafikan hakikat yang kita ditinggalkan di belakang negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
“Malaysia telah jatuh daripada status negara bertaraf dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja,’ katanya.
Sementara itu, Kit Siang berkata, kedua-dua kerajaan ‘pintu belakang’ pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat meneruskan usaha antirasuah Kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai keputusan lebih baik dalam menentukan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
“Sebaliknya mereka bertanggungjawab untuk satu lagi kejatuhan dalam TI CPI di mana kita mendapat markah terendah dalam dekad ini dengan kedudukan ke-62 daripada 180 negara,” katanya. – Malaysiapost