KLIA, KLIA2 dijenama semula – Loke

KLIA, KLIA2 dijenama semula – Loke

KERAJAAN bersetuju menjenamakan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kepada Terminal 1 KLIA dan Terminal 2 KLIA.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata cadangan penjenamaan KLIA dan KLIA2 itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan meningkatkan keboleh pasaran, nilai dan keberkesanannya sambil mengukuhkan persaingan dengan lapangan terbang antarabangsa serantau yang lain.

“Cadangan menjenamakan semula KLIA dan KLIA2 penting untuk kemampanan komersial KLIA dan juga pertumbuhan lapangan terbang di seluruh negara.

“Ia tidak serta-merta kerana penjenamaan semula itu sebahagian daripada Perjanjian Operasi baharu (OA 2023) antara kerajaan Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” kata beliau dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.

Loke berkata, kerajaan dan MAHB akan memuktamadkan dan menandatangani OA 2023 dan Perjanjian Pajakan berkaitan perkara tersebut sebelum penghujung suku pertama 2023 (31 Mac). – Malaysiapost

Komen