MP PAS mahu Anwar jawab isu Pandora Papers di Dewan Rakyat

MP PAS mahu Anwar jawab isu Pandora Papers di Dewan Rakyat

AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mahu membangkitkan persoalan mengenai pendedahan Pandora Papers apabila sidang Dewan Rakyat bersambung, minggu depan.

Ketua Dewan Pemuda PAS itu berkata, beliau mahu tahu tindakan kerajaan perpaduan kerana isu tersebut pernah dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang.

“Minggu hadapan bermula sesi parlimen yang agak panjang, perbahasan Titah Diraja bersambung dengan sesi Bajet 2023.

“Ada cadangan isu-isu yang mahu ditanyakan di Dewan Rakyat? Saya mulakan dengan persoalan pertama.

“Apakah tindakan kerajaan terhadap pendedahan Pandora Papers yang dulunya dituntut untuk disiasat oleh Perdana Menteri yang ketika itu Ketua Pembangkang?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Fadhli juga meminta pengikut di Facebooknya mengemukakan cadangan jika ada persoalan yang ingin dibangkitkan dalam persidangan Parlimen nanti.

Pada Oktober 2021, pembangkang pada masa itu mengemukakan notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Azhar Azizan Harun meminta satu sesi perbahasan diadakan berkaitan pendedahan Pandora Papers.

Usul itu dikemuka Anwar selaku Ketua Pembangkang.

Anwar yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, notis usul itu dikemuka di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Media sebelum itu memetik laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia. Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Dalam notis usul kepada Azhar itu, Anwar turut menyatakan ia perlu disegerakan kerana laporan Pandora Papers kini terdedah di seluruh dunia dan memerlukan penjelasan segera kerajaan untuk membersihkan nama baik kerajaan Malaysia. – Malaysiapost

Komen