Muhyiddin nafi terlibat beri kontrak RM1b kepada syarikat ada kaitan menantu

Muhyiddin nafi terlibat beri kontrak RM1b kepada syarikat ada kaitan menantu

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya terbabit dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan  dakwaan dalam laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari sebagai fitnah yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

“Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu, sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. 

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, tiada mana-mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?,” soalnya.

Sebelum ini, pada Jun tahun lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pelaksanaan NIISe dengan kos RM1 bilion diyakini mampu mempertingkatkan sistem imigresen negara ke tahap yang lebih baik.

Beliau berkata, kontrak NIISe di antara kerajaan dengan IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd dimuktamadkan pada Mei 2022, membabitkan lebih 12 kontraktor.

Sistem itu dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen yang sudah beroperasi lebih 20 tahun dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 2024. -Malaysiapost

Komen