Nazri Aziz dilantik Duta Besar ke Amerika Syarikat
BEKAS Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilantik dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Watikah pelantikan itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Mohamaed Nazri yang juga graduan Lincoln’s Inn di United Kingdom dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.
Mohamed Nazri berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018).
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Selain Nazri, turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dan Duta Besar Malaysia ke Republik Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Holy See, Hendy Anak Assan; Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah; Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Corina Anak Peter Tiwet dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.
Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek, Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait ‘Alauddin Mohd Nor. – Malaysiapost