Negara mesti keluar daripada perangkap pendapatan sederhana – Zahid

Negara mesti keluar daripada perangkap pendapatan sederhana – Zahid

MALAYSIA mesti keluar sebagai negara berpendapatan sederhana selepas berada selama lebih dua dekad dalam perangkap tersebut sebagaimana diklasifikasikan oleh Bank Dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jika Malaysia gagal meningkatkan kelebihan daya saing dan daya tarikannya maka pesaing akan terus maju sekali gus menjejaskan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan akan terus komited untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih kondusif bagi membolehkan rakyat membangunkan potensi diri dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan seminar anjuran MarkPlus Institute ASEAN bertajuk ‘Entrepreneurial Marketing: How to Grow your Business Post-Pandemic’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dalam tempoh tiga tahun lalu, Malaysia telah melihat bagaimana perniagaan terpaksa menghadapi pelbagai cabaran global termasuk pengalaman pahit semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata bergerak maju selepas pandemik, teknologi masih merupakan satu-satunya faktor terpenting yang terus mengubah landskap sosioekonomi dan mempengaruhi pilihan pengguna, begitu juga faktor manusia.

“Saya turut berharap seminar ini mampu membawa satu anjakan baharu berdasarkan peluang dan ruang yang ada berasaskan perkembangan teknologi terkini,” katanya. – Malaysiapost

Komen