Pemain hoki wanita digantung, tak boleh sertai Sukan SEA Cambodia 2023

Pemain hoki wanita digantung, tak boleh sertai Sukan SEA Cambodia 2023

PEMAIN hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan termasuk temasya sukan SEA Cambodia 2023 berikutan didapati membuat hantaran berbaur perkauman di media sosial.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan, berkata keputusan tersebut dibuat hasil temubual Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang mendapati Hanis Nadiah bersalah memuat naik komen berkaitan konsert artis luar negara yang dihadiri majoriti kaum India.

“Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamer perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

“Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran atau ciapan di semua platform media sosial,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu berkata, Jawatankuasa Siasatan juga memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang memaklumkan sebagai pemain utama pasukan, Hanis Nadiah memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.

Kata kenyataan itu, Mohd Nasihin juga mengakui pemain itu memiliki ramai hoki berbangsa India dan bergaul rapat dengan mereka tanpa masalah.

Tambah kenyataan itu, Hanis Nadiah turut menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaik ciapan tersebut yang sekadar jenaka merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi penonton.

“Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen.

“Ekoran teguran itu, Hanis telah memadam komen beliau pada pagi 29 Januari dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya,” katanya kenyataan itu.

Dalam masa sama, pemain itu mengakui kesal dengan keterlanjurannya dan menegaskan bukan seorang rasis dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutama sebagai atlet negara.

Sebelum ini, Hanis Nadiah dikecam selepas memuat naik ciapan di Twitter berunsur rasis melibatkan kehadiran penyanyi serta komposer legenda India, AR Rahman.

Ciapan “Bau bestlah kat dalam stadium tuh” nyata mengundang rasa tidak senang dikalangan ramai pihak dan secara tidak langsung menimbulkan persepsi kurang baik terhadap kerjayanya sebagai atlet kebangsaan. – Malaysiapost

Komen