Pemimpin PAS kecam penggantungan Hanis Nadiah, mahu Hannah Yeoh campur tangan
SEORANG pemimpin PAS mengecam sekeras-kerasnya penggantungan Hanis Nadiah Onn dari mewakili skuad hoki negara ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk Sukan SEA Cambodia 2023.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan itu sangat keras berbanding kesalahan yang didakwa dilakukan Hanis Nadiah.
Malah katanya, pemain hoki wanita kebangsaan itu telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan yang dibuatnya dan memadam komen tersebut.
“Jawatankuasa Siasatan sendiri mengakui Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.
“Bahkan jurulatihnya sendiri menyatakan beliau memiliki ramai rakan hoki berbangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan.
“Ini bermaksud apa yang ditulis langsung tidak mempunyai niat untuk membangkitkan elemen perkauman dan rasis seperti didakwa sebahagian netizen,” katanya.
Terdahulu hari ini Hanis Nadiah digantung daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan termasuk temasya sukan SEA Cambodia 2023 berikutan didapati membuat hantaran berbaur perkauman di media sosial.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan, berkata keputusan dibuat hasil temubual Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang mendapati Hanis Nadiah bersalah memuat naik komen berkaitan konsert artis luar negara yang dihadiri majoriti kaum India.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Belia dan Sukan Perikatan Nasional (PN) berkata penggantungan itu akan menjejas masa depan Hanis Nadiah sekali gus menjejaskan peluang skuad negara meraih pingat di Sukan SEA.
“Saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan dalam isu ini dan penggantungan Hanis wajib ditarik balik.
“Saya yakin YB menteri akan bertindak bijaksana di dalam menangani isu ini,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Sebelum ini, Hanis Nadiah dikecam selepas memuat naik ciapan di Twitter berunsur rasis melibatkan kehadiran penyanyi serta komposer legenda India, AR Rahman.
Ciapan “Bau bestlah kat dalam stadium tuh” nyata mengundang rasa tidak senang dikalangan ramai pihak dan secara tidak langsung menimbulkan persepsi kurang baik terhadap kerjayanya sebagai atlet kebangsaan. – Malaysiapost