Pemimpin Umno ‘dilanyak’ hanya pendapat Ismail Sabri – Zahid

Pemimpin Umno ‘dilanyak’ hanya pendapat Ismail Sabri – Zahid

KENYATAAN Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa parti itu dilanyak seperti pembangkang dan diketepikan hanyalah pendapat peribadinya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata bekas Perdana Menteri itu berhak untuk memberikan pendapat tetapi dakwaan itu akan diadili oleh masyarakat.

“Itu pendapat dia, selalunya begitulah bila seseorang atau mana tokoh yang telah meninggalkan jawatan berpuluh tahun atau lima tahun, sembilan tahun atau 22 bulan, 17 bulan atau lebih 14 bulan, mereka merasakan bahawa kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua tak baik.

“Jadi kita serahkan kepada masyarakat terutamanya ahli-ahli (Umno) untuk menilai sendiri pandangan yang boleh menyanggah atau bersetuju dengan kenyataan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Seri Lestari, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas wawancara khas sebuah akhbar yang bertajuk: Kita ‘dilanyak’ macam pembangkang’, Ahad lalu.

Dalam laporan itu, Ismail Sabri mendedahkan dirinya ditekan kepimpinan Umno sendiri seolah-olah beliau bukan menteri daripada parti itu.

“Orang nampak saya macam bukan pemimpin dalam Umno. Hari ini apa yang hendak dibanggakan sangat? Hanya satu Timbalan Perdana Menteri campur lima menteri lain. Ada yang kata inilah satu pencapaian besar kepada kita.

“Sedangkan saya, 14 menteri BN termasuk PM. Dan hari ini, tiada siapa yang komen tentang kerajaan. Dulu saya dalam Umno pun dikritik secara teruk,” katanya.

Malah, Ismail Sabri mengakui beliau amat kecewa dengan partinya. – Malaysiapost

Komen