Pesuruhjaya PAS Perak mohon maaf kepada Anwar berkait dakwaan LGBT
PESURUHJAYA PAS Perak, Razman Zakaria memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kerana mendakwa Perdana Menteri membenarkan amalan LGBT dalam ceramah pada kempen pilihan raya tahun lalu.
Permohonan maaf itu dibuat di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya, lapor FMT.
Peguam Anwar, SN Nair berkata, anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu sebagai tanda muhibah dan membiarkan perkara itu selesai ‘demi kepentingan semua pihak’.
“Apabila seorang individu menyesal (atas perbuatannya) dan memohon maaf dengan suci hati, seorang pemimpin yang baik budinya akan menerima permohonan maaf itu dan menarik balik saman,” katanya.
Dalam pada itu, Nair menegaskan bahawa penyelesaian itu telah menyangkal tuduhan terhadap Anwar.
Saman itu difailkan pada 5 Disember lalu, berhubung dakwaan Razman bahawa Anwar dalam ucapan kempennya, beliau akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika menjadi Perdana Menteri.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping itu, Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya.
Menurut pernyataan tuntutan, dakwaan Razman membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, juga seorang penipu, pengkhianat, munafik dan bukan orang Islam yang baik.
Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau menang dengan majoriti 3,736 undi, mengalahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu dan dua calon lain. – Malaysiapost