PM tiba di Bangkok bagi lawatan rasmi dua hari

PM tiba di Bangkok bagi lawatan rasmi dua hari

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba Bangkok untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari bermula hari ini.

Ketibaan beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, disambut Timbalan Perdana yang juga Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai mewakili kerajaan Thailand.

Yang turut serta menyambut ketibaan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Anwar akan memulakan lawatan rasmi dengan perjumpaan bersama diaspora Malaysia di Bangkok pada majlis minum petang di Hotel Shangri-La, sebelum berangkat ke ‘Government House’ untuk menyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, lapor Berita Harian.

Pertemuan empat mata itu dijangka memberi peluang kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang di antara Malaysia dan Thailand, meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.

Di ‘Government House’, Anwar dijadual menerima sambutan rasmi oleh rakan sejawatnya, Prayuth, dengan diiringi barisan kawalan kehormat sejurus tiba.

Sejurus selesai mesyuarat dua hala, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani dan penyerahan empat memorandum persefahaman (MoU), membabitkan usaha sama syarikat Malaysia-Thailand dalam bidang tenaga dan ekonomi digital di lokasi sama, sebelum masing-masing menghadiri sidang media bersama.

Malam ini, Anwar dijadual menghadiri majlis makan malam dihoskan Perdana Menteri Thailand di Santi Maitri Buidling juga di ‘Government House’.

Pada hari kedua, Perdana Menteri dijadual bertemu kapten industri, meliputi kalangan intelektual dan masyarakat perniagaan yang terbabit dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik Thailand, di mana beliau akan menyampaikan ucapan bertajuk ‘The Future of ASEAN’.

Anwar kemudian dijadual menunaikan solat Jumaat di Islamic Centre of Thailand dan selepas itu, akan bertemu masyarakat Islam di sana.

Lawatan dua hari ini adalah lawatan rasmi sulung Anwar ke Thailand selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu serta destinasi keempat beliau selepas Indonesia, Brunei dan Singapura.

Thailand adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah bernilai RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion).

Jumlah eksport ke Thailand pada 2022 meningkat 18.9 peratus iaitu RM65.84 bilion berbanding 2021, manakala import dari negara itu turut mencatat peningkatan 16.7 peratus berjumlah RM56.19 bilion. – Malaysiapost

Komen