Polis Pahang rekod RM2.6 juta kerugian awal tahun ini babit kes komersial
POLIS Pahang menerima laporan membabitkan kes komersial dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2.6 juta bagi bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, 83 peratus daripada 119 kes dilaporkan Januari lalu membabitkan kes penipuan dalam talian.
“Pihak polis begitu prihatin dengan jumlah kes yang direkodkan ini dan saya sendiri turut kecewa dengan individu termasuk profesional, kakitangan kerajaan dan pelajar yang menjadi mangsa.
“Ada kes membabitkan seorang guru kehilangan RM233,480 daripada wang simpanan pencen suaminya, dan terdapat juga seorang jururawat meminjam lebih RM150,000 dari bank selepas ditipu ahli sindiket Macau Scam.
“Mereka (mangsa) sangat naif dan mempercayai suspek yang mendakwa mangsa dikaitkan dengan kes jenayah,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas antara Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin.
Noor Hisam akan memangku jawatan timbalan ketua polis Pahang.
Sementara itu, mengulas mengenai persaraan Razak, Ramli berkata, ia adalah satu kehilangan besar kepada pasukan polis Pahang.
“Beliau adalah seorang ‘pejuang berani’ apabila pernah menerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), peringkat persekutuan di negara ini.
“Razak juga adalah penerima anugerah SP yang masih dalam perkhidmatan dan menghabiskan lebih 30 tahun perkhidmatannya sebagai komando polis VAT 69,” katanya.
Razak pernah berperanan dalam mengadakan rundingan memujuk militan Al-Ma’unah menyerah diri pada tahun 2000.-Malaysiapost