RoS beri tempoh 60 hari kepada Umno

RoS beri tempoh 60 hari kepada Umno

UMNO diberi tempoh 60 hari untuk memberi penjelasan terperinci kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung isu dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan perkara itu berkata, beliau percaya Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan akan memenuhi permintaan dan memberikan butiran maklumat yang diperlukan RoS itu.

“Saya yakin bahawa Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) baru-baru ini mengikut peraturan mesyuarat ditetapkan dan perlembagaan parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2023 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, Umno juga mahu RoS berlaku lebih adil dan mendengar penjelasan dan aduan kedua-dua belah pihak bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan ahli dengan kepimpinan parti itu.

“Kami tidak mahu tidak timbul soal tafsiran dan intepretasi pelbagai dalam parti. Peranan RoS sepatutnya menjaga ahli-ahli pertubuhan didaftarkan berdasarkan perlembagaan,” katanya.

Pada 31 Januari lalu, Ahmad Zahid berkata, Umno telah memberi penjelasan kepada RoS berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU2022) untuk jawatan nombor satu dan dua yang tidak akan dipertandingkan.

Jelasnya, beliau bersama tiga individu lain telah menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd. Nawardi Saad dan timbalannya, di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya dengan membawa dokumen disediakan peguam.

Pertemuan itu dibuat susulan tindakan dua ahli Umno bertindak menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. – Malaysiapost

Komen