Salahuddin jamu selera Menu Rahmah ‘sendiri’
DATUK Seri Salahuddin Ayub hari ini meluangkan masa untuk menjamu selera dengan mencuba sendiri Menu Rahmah di sebuah kafe di Cyberjaya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu bersama isteri menjamu selera di kafe yang viral di media sosial itu berikutan menyajikan pelbagai menu kreatif Menu Rahmah mengikut nama-nama tokoh pemimpin negara.
“Untuk makan tengahari, saya bawa isteri ke Cyberjaya untuk cuba kedai makan yang tular dengan menu Rahmah kreatif.
“Ada pelbagai menu dengan variasi nama menteri mengikut hari, dan kebetulan hari ini merupakan menu nama saya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, peniaga kafe tersebut masih memperolehi keuntungan ke atas setiap menu Rahmah yang dijual.
“Sambil menikmati nasi putih bersama pecel lele, sayur, dan air sirap, sempat saya berbual berkenaan kos operasi Menu Rahmah. Alhamdulillah masih ada untung untuk mereka.
“Komuniti di sini menyambut baik inisiatif ini kerana kebanyakannya terdiri daripada golongan pelajar universiti dan pekerja swasta/kerajaan,” katanya.
Salahuddin yang mencetuskan inisiatif Menu Rahmah turut bersyukur kerana usaha Kerajaan Perpaduan itu telah memberi kebaikan kepada peniaga dan pengguna.
“Terima kasih kepada para peniaga yang melaksanakan inisiatif menu Rahmah. Moga Allah melimpahkan rezeki anda semua. Rahmah untuk Malaysia,” katanya. – Malaysiapost