Siasatan SPRM tingkat kredibiliti kerajaan perpaduan – Puad

Siasatan SPRM tingkat kredibiliti kerajaan perpaduan – Puad

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang bekas Perdana Menteri dan menantunya berhubung kontrak kerajaan, akan meningkatkan kredibiliti kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, berkata siasatan itu ditunggu-tunggu oleh rakyat.

“Ini yang ditunggu oleh rakyat. Siasat secara total. Dakwa dengan segera bila cukup bukti.

“Tiada kompromi termasuk rangkaiannya. Ia akan meningkatkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan. Slowly but surely,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam media melaporkan, SPRM sedang menyiasat seorang bekas Perdana Menteri dan menantunya berhubung kontrak kerajaan.

Sumber SPRM berkata, siasatan tertumpu kepada kemungkinan salah guna kuasa berlaku dalam pemberian kontrak bagi projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

“SPRM sedang melihat proses pemberian kontrak itu diberikan dan kaitan syarikat berkenaan dengan mereka yang berkuasa pada masa itu,” kata sumber itu.

Terdapat maklumat menyatakan NIISe, sebuah projek yang sedang dibangunkan untuk menggantikan mekanisme pendaftaran pekerja asing sedia ada oleh Jabatan Imigresen menjelang 2025 adalah projek bermasalah.

Semakan ke laman web jabatan itu menunjukkan ‘Pasukan Projek Khas NIISe’ dipertanggungjawabkan kepada seorang pegawai tadbir dan diplomatik, Ruslan Atan.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, NIISe akan diperkenal dalam masa dua tahun dengan semua urusan berkaitan imigresen, termasuk yang kini diuruskan pihak luar seperti MyEG, kembali kepada jabatan itu.

Beliau berkata, sistem baharu itu kini sedang dibangunkan oleh Iris Corporation Bhd.

Sebelum ini, Mohd Puad pernah berkata, menantu bekas Perdana Menteri itu mungkin saudara yang tidak dinamakan seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau bercakap mengenai kroni dan saudara yang dianugerahkan kontrak yang lumayan.

Menantu pemimpin itu juga dinamakan dalam laporan media sebelum ini sebagai antara seorang pemain utama dalam kontrak untuk NIISe. – Malaysiapost

Komen