Angka korban gempa bumi di Turkiye, Syria kini cecah 21,000
JUMLAH mangsa yang terkorban di Turkiye dan Syria akibat gempa bumi teruk yang berlaku Isnin lalu, kini mencecah 21,000.
Pegawai perubatan di Turkiye dalam kenyataan berkata, sebanyak 17,674 kematian dicatatkan di Turkiye.
Menurut kumpulan penyelamat Syrian White Helmets, 3,377 orang dilaporkan meninggal dunia di Syria, termasuk 2,030 mangsa di kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah barat laut, dan 1,347 kematian di bahagian yang dikawal kerajaan di Syria.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 78,124 orang cedera di Syria dan Turkiye, manakala agensi pengurusan bencana Turkiye dalam kenyataan berkata, kira-kira 28,044 penduduk telah dipindahkan dari KahramanmaraÅŸ.
Kata kenyataan itu, KahramanmaraÅŸ merupakan salah satu wilayah di selatan Turki yang paling teruk dilanda gempa bumi.
Sebanyak 23,437 mangsa dipindahkan melalui udara, manakala 4,607 melalui jalan raya dan kereta api.
Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).
Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu turut mengakibatkan ancaman tsunami di perairan negara berkenaan. – Malaysiapost