Bajet 2023 bantu B40 jana pendapatan tambahan tanpa duit KWSP

Bajet 2023 bantu B40 jana pendapatan tambahan tanpa duit KWSP

KERAJAAN akan mengumumkan beberapa perkara di dalam Belanjawan 2023 bagi membantu golongan B40 terutamanya untuk menjana pendapatan tambahan tanpa perlu membuat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, rakyat perlu berhati-hati dalam pengeluaran KWSP walaupun beliau faham ia dapat membantu sesetengah keluarga atau golongan buat masa sekarang, namun kos yang perlu dibayar oleh mereka di kemudian hari adalah tinggi.

“Apa yang kita mampu bantu dari segi bantuan, dasar yang lain sekarang ini yang membabitkan kos dan pendapatan, kita perlu tumpu yang itu dahulu kerana menyentuh atau mengambil wang persaraan di hari tua, walaupun ia nampak mudah untuk ahli politik sekarang, tetapi dia mencuci tangan untuk masa akan datang kerana yang akan menanggungnya ialah mereka yang kehilangan simpanan hari tua,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu mengurangkan beban rakyat tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.

Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan berharap untuk meneruskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang sedang berlaku ketika ini.

Katanya, pihaknya mula melihat kepada dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji kerana tidak boleh melihat kepada aspek kos sara hidup semata-mata. -Malaysiapost

Komen