Belasungkawa: Negara kehilangan tokoh menentang perkauman

Belasungkawa: Negara kehilangan tokoh menentang perkauman

Najamuddin Mohd Nor

TUNKU Abdul Aziz Ibrahim yang menghembuskan nafas terakhir pada 7 Februari lalu merupakan tokoh yang terkenal menentang perkauman.

Anak jati kelahiran Alor Setar yang dilahirkan pada tahun 1934 itu menempuhi liku-liku kehidupan warna warni sepanjang 89 tahun hayatnya.

Beliau yang mempunyai pertalian darah dengan Bapa Kemerdekaan negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman adalah seorang pemimpin korporat dan NGO yang berbakat dan sangat dihormati di dalam dan luar negara.

Tunku Abdul Aziz memulakan kerjaya perniagaannya dengan Guthrie Corporation Ltd dan kemudian dilantik sebagai penasihat Bank Negara Malaysia.

Selepas itu, beliau beralih semula kepada sektor swasta dengan menyertai Dunlop Malaysia Industries sebelum dilantik ahli lembaga pengarah Sime Darby Group.

Tunku Abdul Aziz melebarkan kerjayanya ke luar negara pada 1985 apabila menerima jawatan sebagai pengarah Sekretariat Komanwel di London sebelum pulang ke tanah air pada 1992 berikutan persaraannya.

Tunku Abdul Aziz Ibrahim

Antara kerjaya paling menaikkan namanya sebagai tokoh pemimpin apabila menjadi pengasas bersama dan presiden Kuala Lumpur Society for Transparency and Integrity, the Malaysian Chapter of Transparency.

Beliau dilantik Naib Presiden Transparency International Malaysia, iaitu pemimpin berprofil tinggi dalam aktivis menyokong integriti dan ketelusan bersama.

Kerjaya beliau yang paling diingati ramai pastinya ketika dilantik oleh Setiausaha Kehormat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan sebagai Penasihat Khas untuk Pertubuhan Pejabat Etika di PBB sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Namun, Tunku Abdul Aziz mengejutkan orang ramai terutama orang Melayu apabila menyertai DAP pada tahun 2008 sebagai platform pertamanya aktif dalam politik.

Setahun selepas itu, DAP melantik beliau sebagai Naib Pengerusi. Pada Julai 2009, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara yang pertama daripada DAP.

Namun pada 2012, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Pengerusi DAP dan mengumumkan keluar dari parti itu.

Bekas Ahli Dewan Negara itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Selasa lalu.

Pemergian Tunku Abdul Aziz dimaklumkan anak saudaranya, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin dalam hantaran di Instagram.

“Al-Fatihah bapa saudara saya Tunku Abdul Aziz baru sahaja menghembus nafasnya yang terakhir.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat bersama orang orang yang beriman,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: UTUSAN TV

Komen