Burger King restoran makanan segera pertama saji Menu Rahmah

Burger King restoran makanan segera pertama saji Menu Rahmah

BURGER King menjadi restoran makanan segera pertama yang menawarkan Menu Rahmah kepada rakyat Malaysia. 

Menu Rahmah yang dicetuskan dan hasil inisiatif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah menu yang menawarkan makanan tengahari atau petang di bawah RM5.

Menurut laman rasmi Facebook KPDN, Salahuddin telah menghadiri dan merasmikan Menu Rahmah di Restoran Burger King di Persiaran Indah, Johor Bahru, hari ini. 

“Pada hari ini, Restoran Burger King yang merupakan antara rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas atau QSR (Quick Service And Fast Casual Restaurant) yang utama di Malaysia telah menjadi restoran makanan segera pertama yang melancarkan “Menu Rahmah” dalam menu sajian kepada pelanggannya.

“Menu Rahmah” ini ditawarkan dengan pilihan dua jenis protein iaitu BK Chick’N Crisp®️ (Ayam) dan Cheesy Beef (Daging) dan disertakan dengan sebotol Air Mineral Dasani dengan harga RM 5.00 bagi satu hidangan di 140 buah cawangannya di Semenanjung. 

“Daging lembu dan ayam yang digunakan adalah 100 peratus disahkan Halal dan syarikat hanya menggunakan sayur-sayuran segar yang diperolehi dari seluruh Malaysia,” menurut kenyataan Facebook berkenaan. 

Justeru, KPDN berharap sambutan yang sangat menggalakkan terhadap Menu Rahmah ini akan menarik minat lebih ramai peniaga atau pemilik restoran makanan untuk menyediakan menu berkenaan kepada rakyat. 

“Seperti mana sedia maklum, Menu Rahmah merupakan makanan tengah hari atau petang yang ditawarkan pada harga yang rendah iaitu pada harga RM 5.00 sepinggan. Dengan kadar harga menu yang berpatutan ini, ia disasarkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

“Susulan daripada kerjasama sinergi di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama industri restoran dan peruncitan, inisiatif “Menu Rahmah” ini telah berjaya menarik kerjasama bersama industri rantaian restoran makanan segera. 

“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri rantaian restoran makanan segera supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini,” katanya. 

Turut memeriahkan majlis perasmian itu ialah kehadiran tetamu istimewa, anak-anak yatim dari Rumah Fitrah Qaseh, Johor Bahru bagi merasai pengalaman menjadi orang pertama merasai “Menu Rahmah” di Restoran Burger King. -Malaysiapost

Komen