Dua pertiga rakyat terima Anwar, 75 peratus mahu PN kekal pembangkang

Dua pertiga rakyat terima Anwar, 75 peratus mahu PN kekal pembangkang

PRESTASI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam trek positif dan menerima pengiktirafan lebih dua pertiga rakyat Malaysia pada bulan kedua beliau meneraju pentadbiran negara.

Berdasarkan tinjauan dijalankan Merdeka Centre, 73 peratus masyarakat Cina memberi penarafan positif dan sokongan kepada Anwar, 91 peratus etnik India, kira-kira 70 peratus bumiputera di Sabah dan Sarawak, dan 60 peratus lagi kaum Melayu.

Hanya 20 peratus sahaja yang melaporkan rasa tidak puas hati dengan prestasinya sebagai Perdana Menteri.

Tinjauan yang membabitkan 1,209 responden ini juga menyaksikan 54 peratus berpuas hati dengan prestasi baharu kerajaan persekutuan, manakala hanya 25 peratus berkata mereka tidak berpuas hati.

Kerajaan persekutuan menerima maklum balas positif daripada 67 peratus etnik India, 65 peratus Cina, 42 peratus Bumiputera bukan Islam, 39 Bumiputera Islam, dan 48 peratus etnik Melayu di seluruh negara.

Dalam pada itu, Merdeka Centre berkata, hampir satu perempat daripada responden mengelak daripada memberikan pandangan mereka, atau menunjukkan sikap berhati-hati.

Namun, masih ramai juga meluahkan keyakinan mereka seperti yang dinyatakan ini,

“Seramai 48 peratus rakyat percaya bahawa negara kini menuju ke arah yang betul, berbanding dengan hanya 20 peratus semasa kajian yang dijalankan pada Oktober 2022.

“Sebanyak 43 peratus rakyat menyatakan keyakinan tentang ekonomi negara pada tahun akan datang, meningkat daripada 23 peratus pada Oktober 2022.

“Sejumlah 38 peratus pula optimis tentang prospek kewangan peribadi mereka berbanding 26 peartus semasa kajian pada Oktober 2022,” kata Merdeka Centre dalam kenyataan, hari ini.

Tinjauan berkenaan telah dilakukan sejak 26 Disember tahun lalu sehingga 15 Januari ini turut mendapati bahawa majoriti besar, iaitu 79 peratus pengundi mengalu-alukan keputusan pilihan raya ke-15, tahun lalu.

“Sebanyak 83 peratus responden berkata mereka menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

“Sebanyak 77 peratus pula percaya bahawa kerajaan perpaduan boleh membawa kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara,” katanya.

Manakala terdapat 75 peratus menerima keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal sebagai pembangkang.

“66 peratus menerima keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH),” katanya. -Malaysiapost

Komen