Ingat minta maaf boleh settle ke?
PEMIMPIN PKR mengingatkan permohonan maaf tidak akan begitu mudah menyelesaikan apa juga isu berbangkit.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi satu hantaran di Facebooknya.
“Ingat minta maaf boleh settle ke?,” tulis Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu ringkas.
Biarpun tidak menyatakan secara terperinci mengenainya, beliau dipercayai merujuk kepada permohonan maaf oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Semalam, Razman memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa Perdana Menteri membenarkan amalan LGBT dalam ceramah pada kempen pilihan raya tahun lalu.
Permohonan maaf dibuat di Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.
Peguam Anwar, SN Nair dilaporkan berkata, anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu sebagai tanda muhibah dan membiarkan perkara tersebut selesai ‘demi kepentingan semua pihak’.
Saman itu difailkan pada 5 Disember lalu, berhubung dakwaan Razman bahawa Anwar dalam ucapan kempennya, beliau akan mempromosi agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika menjadi Perdana Menteri.
Dalam saman difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping itu, Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya.
Menurut pernyataan tuntutan, dakwaan Razman membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, juga seorang penipu, pengkhianat, munafik dan bukan orang Islam yang baik. – Malaysiapost