Ismail Sabri jelas kekeliruan maksud ‘Umno dilanyak’
NAIB Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjelaskan maksud sebenar kenyataan ‘Umno dilanyak’ baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya menzahirkan kekecewaannya kepada Umno ketika beliau menjadi Perdana Menteri yang saban hari diberi tekanan walaupun ketika itu Umno dan Barisan Nasional (BN) memiliki 14 menteri dalam Kabinet.
“Saya ingin menjelaskan beberapa kekeliruan berkaitan laporan ‘Umno dilanyak’ seperti mana yang diterbitkan pada laporan portal Astro Awani dan Utusan Online.
“Rujukan yang dipetik laporan-laporan tersebut telah menyimpang daripada wawancara saya bersama Mingguan Malaysia pada 5 Februari 2023.
“Dalam wawancara itu, saya hanya menyatakan kekecewaan yang tidak pernah ditunjukkan selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menjelaskan maksud Umno dilanyak itu, Ismail Sabri berkata, Umno terus dilanyak oleh ahli partinya sendiri walaupun ketika itu yang menjadi Perdana Menteri adalah pemimpin dari Umno berbanding hanya Timbalan Perdana Menteri dan enam menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Saya Perdana Menteri Umno. Untuk mengukuhkan Umno masa itu, daripada 29 menteri Kabinet, 14 daripadanya adalah menteri BN walaupun kita hanya ada 42 kerusi Parlimen.
“Tetapi waktu itu saya ditekan oleh pemimpin parti sendiri seperti saya bukan Perdana Menteri dari Umno. Saya dilanyak waktu itu. Umno seolah-olah pembangkang waktu itu.
“Ini yang saya maksudkan dalam wawancara saya bersama media tempoh hari,” katanya. -Malaysiapost