Keluarga kanak-kanak melecur kena asid paip sinki dapat bantuan LZS
NASIB dua beradik yang melecur selepas terkena cecair asid daripada letupan saluran paip sinki rumah, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS menerusi hantaran Facebook, memaklumkan telah menziarahi keluarga dua beradik itu yang kini berada di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan.
Menurutnya, keluarga tersebut adalah salah sebuah keluarga asnaf yang di bawah bantuan LZS.
“Kejadian malang yang menimpa dua beradik ini sungguh tidak terduga.
“Seorang daripada mereka cedera ringan manakala seorang lagi melecur teruk dan sedang mendapat rawatan di ICU bagi pemantauan rapi dari pihak hospital sehingga kulit anak ini pulih.
“Kami berkesempatan membuat panggilan video dengan salah seorang anak ini untuk memberi kata-kata semangat dengan harapan dapat mengurangkan trauma yang dilalui,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, LZS berkata keluarga itu juga terpaksa menumpang di rumah mertua buat sementara waktu kerana kediaman mereka belum selamat untuk diduduki kerana tercemar dengan bau asid yang masih kuat.
Katanya, sumbangan wang tunai serta makanan telah disampaikan kepada keluarga itu, manakala bantuan perubatan akan disalurkan sebaik sahaja anak mereka keluar daripada hospital.
“Kami mendoakan agar keluarga ini dikurniakan kesabaran di atas musibah yang menimpa serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Pada 2 Febuari lalu, media melaporkan dua kanak-kanak melecur selepas terkena cecair dipercayai asid serbuk soda yang berpunca dari letupan saluran paip sinki rumah di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan.
Ia disedari ibu kanak-kanak terbabit ketika berada di kediaman mereka di tingkat satu selepas terdengar letupan di bahagian dapur.
kejadian itu mengakibatkan anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan awal. – Malaysiapost