Kerajaan perkenal semula Pemudah – Rafizi

Kerajaan perkenal semula Pemudah – Rafizi

KERAJAAN memperkenalkan semula Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) bagi mempermudahkan urusan industri.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang berkata ia akan mempercepatkan usaha Malaysia menjadi pasaran yang mesra pelanggan.

Katanya, ia diperkenalkan semula selepas menerima pandangan para pemain industri dalam sesi dialog strategik pertama yang diadakan.

“Kita akan mulakan semula Pemudah untuk permudahkan urusan industri. Ia akan dipengerusikan bersama oleh saya dan Ketua Setiausaha Negara agar kita dapat mempercepatkan usaha menjadikan Malaysia pasaran yang mesra perniagaan.

“Ia juga akan menyelaraskan persaingan. Platform sudah ada. Kita hanya perlu selaraskannya,” katanya pada sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Rafizi menjelaskan, pengenalan Pemudah juga selaras dengan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri.

“Berdasarkan sesi dialog, kebanyakan dari mereka tidak bergelut dengan keperluan infrastruktur atau kekangan kewangan sebaliknya berdepan masalah karenah birokrasi. Contohnya, proses yang panjang dalam pensijilan barang import runcit,” katanya.

Pemudah dimulakan buat kali pertama dalam tahun 2008 oleh pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan diteruskan oleh Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, Rafizi berharap pemain industri boleh menjadi pemangkin kepada revolusi perindustrian keempat sekiranya masalah seharian yang mereka hadapi ini boleh diselesaikan.

Menjawab soalan lain, Rafizi berkata, kementeriannya sedang menimbangkan kaedah meningkatkan gaji rakyat.

“Sekiranya kita melangkaui gaji per kapita RM15,200 kita berada dalam kumpulan negara berpendapatan tinggi. Sekarang kadar pertumbuhan adalah di sekitar empat hingga lima peratus.

“Kita tidak mahu masuk kumpulan negara berpendapatan tinggi sedangkan jurang pendapatan rakyat lebar,” katanya. – Malaysiapost

Komen