Pasukan SMART keluarkan tiga mayat mangsa gempa bumi

Pasukan SMART keluarkan tiga mayat mangsa gempa bumi

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) mengeluarkan tiga mayat mangsa gempa bumi di bawah runtuhan bangunan tujuh tingkat di Gaziantep, Turkiye.

Pasukan dikenali MAS-01 SMART di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu berusaha mengeluarkan jasad tiga mangsa itu, membabitkan seorang lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak.

“Dipercayai tiga mangsa telah terperangkap di runtuhan ini. Setelah dua jam menggunakan peralatan khas, team telah berjaya menjumpai tiga mangsa, seorang perempuan, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak.

“Semua mangsa yang ditemui telah pun meninggal dunia. Salam takziah,” menurut kemas kini hantaran Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi hantaran itu juga, perkongsian terkini gerak kerja pasukan SMART juga dimuat naik menunjukkan beberapa anggota membawa keluar mayat mangsa runtuhan berkenaan.

Pasukan SMART tiba di Gaziantep Selasa lalu, untuk misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi.

Kerja-kerja di kawasan ground zero dimulakan 70 pegawai dan anggota pasukan pertama SMART selepas diterbangkan ke Turkiye.

Malaysia turut mengerahkan pasukan kedua misi SAR, yang berlepas ke Turkiye malam tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kumpulan kedua disertai 70 pegawai dan anggota terdiri daripada 20 anggota SMART, 30 anggota JBPM dan 21 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Malaysiapost

Komen