Pegawai perubatan direman bantu siasatan kes cabul kanak-kanak

Pegawai perubatan direman bantu siasatan kes cabul kanak-kanak

SEORANG pegawai perubatan berusia 30 tahun, ditahan selepas dipercayai mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Suspek dipercayai seorang pedofilia itu bertugas di Hospital Kemaman, Terengganu.

Polis menerima satu laporan bersabit kes pencabulan yang dibuat oleh ibu bapa mangsa jam 9 malam, kelmarin.

Mangsa dilapor dicabul di wad kanak-kanak ketika dirawat oleh suspek, kira-kira jam 6 petang.

Suspek dipercayai telah membuka baju mangsa sebelum meraba dada dan merakam gambar mangsa mengguna telefon bimbit.

Semalam, kira-kira jam 1.50 tengah hari, suspek ditahan dan polis turut merampas telefon suspek.

Hasil siasatan awal mendapati, terdapat ramai lagi kanak-kanak perempuan menjadi mangsa kepada doktor pedofilia itu berikutan penemuan gambar kanak-kanak perempuan lain yang disimpan di dalam telefon suspek.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam satu kenyataan media mengesahkan perkara itu.

Kes disiasat mengikut seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Suspek direman selama tujuh hari, bermula hari ini hingga Khamis depan.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan. – Malaysiapost

Komen