RUU Pendanaan Politik perlu dibentang segera

RUU Pendanaan Politik perlu dibentang segera

USUL berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik perlu dibentang dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah berkata, usul itu penting bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kewangan dan peruntukan parti politik yang sering dibangkitkan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Seharusnya ada Akta Pendanaan Politik (kerana) akta ini akan melihat beberapa hal ehwal yang berkaitan dengan kewangan dan peruntukan.

“Perkara pertama ialah peruntukan parti politik, jadi tak payahlah nak bising-bising orang ni dapat berapa orang ni cari mana, sekarang ni semua orang tak tahu siapa dapat duit dari mana dan semua parti cari duit.Jadi mesti ada peraturan untuk menentukan nak dapat duit tu dari mana.

“Perkara yang kedua pula untuk ahli dewan rakyat, bagaimana diagihkan, adakah (pengagihan) melibatkan pembangkang atau tak melibatkan pembangkang, kemudian dia punya ‘amount’ tu, adakah berdasarkan perkapita penduduk di kawasan yang mereka (ahli dewan rakyat) wakili atau kaedah apa digunakan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

RUU berkenaan sepatutnya dibentangkan pada sidang dewan rakyat Oktober tahun lalu, namun ditangguhkan kerana masih belum lengkap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu memerlukan kajian terperinci bagi memastikan mekanisme pelaksanaannya lebih berkesan.

Isu membabitkan sumber kewangan parti politik kembali mendapat perhatian ketika kempen PRU15 yang menyaksikan banyak parti dilihat berbelanja besar.

Antaranya PN yang menyaksikan akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Februari lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, dua akaun parti itu dibekukan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Pendedahan itu dibuat hanya dua hari selepas parti itu mengisytiharkan penyata akaunnya bagi tahun 2020 dan 2021, dalam usaha untuk menafikan dakwaan rasuah. -Malaysiapost

Komen