BN kalah PRU-15 sebab Ismail Sabri ‘poster boy’
TINDAKAN Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail sabri Yaakob yang dilihat sering menyerang partinya sendiri dengan kenyataan terbuka di media, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata dakwaan dibuat bekas Perdana Menteri itu menerusi media hanya bersifat ‘separuh benar’ untuk bersikap menegak benang basah.
Menurutnya, Ahli Parlimen Bera berkenaan juga seperti menunding jari kekalahan kepada orang lain, tanpa mengambil sikap tanggungjawab bersama sebagai satu pasukan.
“Pemuda Umno berasa amat tidak senang dengan ‘mode’ serangan demi serangan secara terbuka menerusi media oleh Naib Presiden Umno yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada parti sendiri.
“Sedangkan beliau menduduki hierarki ‘top five’, yang membolehkan beliau menyuarakan teguran, pandangan secara berorganisasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ismail Sabri termasuk yang terbaharu apabila mendakwa beliau ditekan oleh pemimpin parti sendiri ketika menjadi Perdana Menteri seolah-olah bukan dari Umno dan ‘dilanyak’ oleh Umno yang seperti pembangkang waktu itu.
Syed Mohd mempersoalkan adakah serangan oleh Ismail Sabri itu berpunca daripada perasaan marah sebab tidak dapat duduk ‘kerusi sangat berkuasa’ lebih lama.
Sehubungan itu, beliau menjawab sebahagian dakwaan Naib Presiden Umno itu.
“Dilanyak parti sendiri. Tiada mana-mana sayap dan pihak dalam parti yang melanyak beliau secara terbuka sewaktu menjadi Perdana Menteri. Pemuda Umno sendiri tidak pernah menekan beliau dalam mana-masa isu.
“Walaupun pada masa itu Pemuda berusaha memperjuangkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memberi sedikit nafas kepada orang ramai yang menghadapi tekanan kewangan akibat Covid-19,” katanya.
Menurutnya, perlu ditegaskan ada beberapa tindakan Ismail Sabri yang bertentangan dengan keputusan parti, antaranya beliau tidak sepatutnya menerima lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, Ismail Sabri juga membelakangkan parti apabila secara senyap menandatangani perjanjian dengan Muhyiddin dengan syarat yang tidak dimaklumkan kepada parti.
Syed Mohd berkata, Ismail Sabri turut mengatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah jika Pilihan Raya Umum (PRU) awal, tetapi beliau sendiri bertegas supaya mengekalkannya sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri Umno.
“Jadi tidak salah jika kita katakan kegagalan BN memperoleh kerusi yang sepatutnya kerana Ismail Sabri gagal sebagai poster boy BN dan timbul juga persoalan adakah rakyat tidak mahu beliau meneruskan jawatan Perdana Menteri.
“Dan apakah tindakan pentadbiran beliau mengembalikan keyakinan orang ramai kepada BN semasa menjawat jawatan PM setelah mendapati laporan agensi kerajaan bahawa BN hanya mampu menang sekitar 30 kerusi.
“Ismail Sabri juga sepanjang tempoh berkempen PRU menyatakan keyakinan BN boleh menang 112 kerusi, tetapi kenapa selepas kalah nada sudah berubah,” soalnya.
Beliau menasihatkan Naib Presiden Umno itu supaya tidak mengambil sikap perumpamaan seperti ‘rumah dah siap, tapi pahat masih berbunyi’ kerana ianya merendahkan martabatnya selaku bekas Perdana Menteri kesembilan dari Umno. – Malaysiapost