Cuaca sejuk -15° antara cabaran pasukan penyelamat Malaysia di Turkiye
MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye yang dijalankan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi-agensi Malaysia lain mangsa gempa bumi di Turkiye, setakat ini berjalan lancar.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pasukan negara kini berada di kawasan gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep untuk meneruskan misi dan beberapa mangsa telah berjaya ditemui serta dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.

Beliau berkata, pada masa sama bantuan ubat-ubatan, pasukan perubatan dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan membantu membina fasiliti hospital juga telah selamat tiba di Turkiye.
“Tahniah kepada Pasukan SMART Malaysia yang menjadi rujukan pelbagai negara termasuk pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengkoordinasi misi bantuan ini.
“Rakyat Malaysia, pasti berbangga dengan anda semua,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Zambry berkata, cabaran utama dihadapi oleh pasukan penyelamat dalam misi berkenaan pastinya keadaan cuaca yang sangat sejuk mencecah negatif 15 darjah celcius serta peralatan khusus yang perlu digunakan untuk mencari dan menyelamat.
“Namun, semangat tinggi pasukan bantuan Malaysia dan pasukan penyelamat negara lain amatlah dihargai,” katanya.
Menurutnya, susulan gempa bumi berkenaan Kementerian Luar Negeri telah melancarkan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN).
“Orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria boleh menyalurkannya melalui akaun TBKLN 105490000599 (Affin Bank) bermula 10 hingga 23 Februari 2023,” katanya. – Malaysiapost