DAP perlu pecat Ramasamy – Mohd Sany
SEORANG pemimpin Amanah menggesa DAP memecat Dr P Ramasamy daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II susulan kenyataan meminta kerajaan memecah monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menyusahkan Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi kerajaan.
“Saya yakin DAP tertekan dengan kenyataan semacam ini dan perlu berbuat sesuatu kerana ini bukan kenyataan pertama daripada beliau yang menyusahkan DAP sendiri.
“Tindakan paling sesuai bagi saya adalah memecat beliau daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana ramai lagi pemimpin yang lebih berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ramasamy menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Menurut Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, Ramasamy sekali lagi mencari pasal dan cuba menjadi hero kaumnya dengan publisiti murahan.
“Kenyataan sebegini bertentangan dengan dasar Malaysia Madani yang sedang dipelopori kerajaan pimpinan Anwar sekarang dan ia satu sabotaj kepadanya.
“Bagi saya, ia tidak wajar keluar dari rakyat negara ini jika mereka mahu menjaga keharmonian antara kaum.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat negara ini jangan melayan orang macam ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, dominasi kaum Melayu dalam perkhidmatan sektor awam bukan satu masalah buat masa ini.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk membuat sebarang perubahan mengenainya dan menyifatkan ia hanya pandangan peribadi Ramasamy. – Malaysiapost