Dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam bukan masalah – PM

Dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam bukan masalah – PM

DOMINASI kaum Melayu dalam perkhidmatan sektor awam bukan satu masalah buat masa ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk membuat sebarang perubahan mengenainya seperti yang diminta Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy.

Menurutnya, cadangan Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu hanya pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian DAP.

“Itu pandangan peribadi dia. Kalau perlu timbang, kita timbang tetapi itu pun bukan pandangan DAP.

“Perkara ini kita tidak buka saluran untuk kita pertimbangkan kerana keadaan sekarang, saya tidak fikir itu satu masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Ramasamy yang menggesa Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu ketika ini.

Ramasamy berkata, alasan kononnya penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi, seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

Anwar berkata, beliau meraikan semua pandangan namun ia tidak semestinya mempengaruhi keputusan kerajaan atau sebaliknya.

“Kita jangan pula melarang orang bercakap untuk memberi pandangan, boleh. Tetapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan Malaysia

Komen