Gandingan Hasmuni-Hairi mampu meneruskan kebangkitan Pemuda
GANDINGAN antara Datuk Hasmuni Hassan dan Mohd Hairi Mad Shah, sebagai sebagai calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia diihat mampu meneruskan kebangkitan sayap berkenaan dalam parti.
Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor, yakin kedua-dua pemimpin berkenaan dapat meneruskan agenda memperkasakan ahli-ahli Pemuda Umno di cawangan seluruh negara dengan temanya ‘Terus Bangkit’.
“Pengalaman Datuk Hasmuni sebagai Setiausaha Pemuda Umno Malaysia sebelum ini tentunya lebih arif dan masak dengan kehendak akar umbi pemuda di setiap Bahagian.
“Kematangan dan kebijaksanaannya dalam membuat keputusan amat ditagih dalam membawa Pemuda ke arah lebih baik, bukan sekadar meraih populariti sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Mohd Hairi pula yang juga Ketua Pemuda Umno Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin serta Exco Belia dan Sukan negeri Johor, tentunya dapat meneruskan agenda pemerkasaan anak muda jika dipilih kelak.
“Pengalamannya selama lima tahun sebagai Ketua Pemuda Umno Johor dan pengalaman mentadbir sebagai Exco tentunya memberi kelebihan dalam mencorak kanvas politik baru dalam menarik kembali sokongan anak muda kepada Umno,” katanya.
Justeru, Noor Hariri menyeru semua perwakilan Pemuda Umno seluruh negara untuk memilih kedua-dua pemimpin itu.
“Tentunya tanggungjawab besar menanti gandingan mereka berdua dalam menyiapkan perancangan dan melaksanakan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dalam jangkamasa empat ke lima tahun mendatang.
“Yang pasti, misi menawan kembali hati pengundi muda menjadi resipi utama dalam manifesto Pemuda Umno.
“Bermula 2018 kami ‘Bangkit Kembali’ daripada kekalahan, 2023 kami akan ‘Terus Bangkit’ dalam meluaskan agenda untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Saingan jawatan Ketua Pemuda Umno kini dilihat semakin menarik apabila Hasmuni menawarkan diri bertanding jawatan itu dan turut membariskan pasukannya untuk bertanding pada pemilihan sayap berkenaan dalam satu sidang media baru-baru ini.
Selain Hairi diumumkan sebagai calon Naib Ketua Pemuda, Hasmuni turut mengumumkan Adun Merlimau yang juga Ketua Pemuda Umno Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Setiausaha pergerakan itu, jika pasukannya menang kelak.
Manakala Ketua Pemuda Umno Kinabatangan, Mohd Naim Moktar, diumumkan sebagai calon Bendahari dan Ketua Pemuda Umno Bukit Gantang, Mohd Sollehin Tajie, sebagai calon Ketua Penerangan.
Hasmuni turut memaklumkan, pasukannya akan bertanding merebut 20 jawatan Exco parti yang akan ditandingi calon berusia bawah 40 tahun. – Malaysiapost