Hospital Medan ATM mula beroperasi Rabu depan
HOSPITAL Medan Malaysia milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka memulakan operasi pada Rabu depan bagi memberikan khidmat perubatan kepada mangsa gempa bumi di Adiyaman, Turkiye
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom, berkata operasi hospital medan itu akan menawarkan perkhidmatan perubatan bagi Tahap 1 dan 2 termasuk prosedur pembedahan.
Menurutnya, aturgerak pegawai dan anggota OP STARLIGHT II dilaksanakan dalam tiga fasa penghantaran iaitu bermula semalam menggunakan dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat komersial.
“Kumpulan pertama melibatkan 36 pegawai dan anggota selamat tiba di Lapangan Terbang Gaziantep hari ini.
“Buat masa ini, kumpulan pertama sedang menunggu arahan untuk pergerakan ke kawasan bencana bagi mendirikan hospital medan di Celikhan, Adiyaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghantar kumpulan terakhir OP STARLIGHT II di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam ini.
Noor Mohamad Akmar berkata, kumpulan kedua melibatkan 34 pegawai dan anggota berlepas semalam menggunakan pesawat Turkish Airlines dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 10.44 pagi hari ini.
“Kumpulan kedua akan menunggu ketibaan kumpulan ketiga dan bersama-sama menaiki pesawat A400M ke Lapangan Terbang Gaziantep seterusnya melalui jalan darat ke lokasi hospital medan ditempatkan.
“Elemen Logistik Perubatan pula akan melibatkan sebanyak 7.3 tan aset dan diterbangkan ke Turkiye menggunakan pesawat Mas Kargo,” ujarnya.
Menurut Noor Mohamad Akmar, misi hospital medan itu dijangka mengambil masa selama enam minggu, namun akan dipanjangkan tempoh sekiranya diperlukan.
“Hospital medan itu akan ditempatkan di Celikhan, Adiyaman iaitu 152 kilometer dari Gaziantep yang merupakan kawasan paling terjejas.
“Ia akan mendapatkan bantuan koordinasi daripada kerajaan Turkiye dan mengkoordinasikan operasi bersama Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda pada Isnin lepas telah meragut ribuan nyawa.
Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Pengisytiharan itu bagi memastikan misi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar. – Malaysiapost