Jalan kaki 8km hantar anak sekolah, bapa sebak dapat hadiah motosikal baharu
SEORANG bapa yang terpaksa berjalan kaki sejauh 8 kilometer (km) sehari untuk menghantar anak ke sekolah, tidak dapat menahan sebak apabila menerima hadiah sebuah motosikal baharu.
Menerusi perkongsian Facebook Mohd Fadli Salleh atau lebih dikenali Cikgu Fadli, memaklumkan keluarga itu mempunyai sebuah motosikal, namun ditarik pihak bank selepas lebih empat bulan tidak menjelaskan ansuran bulanan.
Kata Cikgu Fadli, bapa tersebut sebelum ini adalah seorang penghantar makanan, namun selepas motosikal ‘ditarik’ dia tidak mampu meneruskan pekerjaan itu.
Jelas Fadli, pekerjaan bapa tersebut adalah pendapatan utama keluarga dan motosikal itu juga digunakan untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah.
“Motosikal si ayah kena tarik beberapa minggu lepas akibat tertunggak empat bulan. Masa tu dia tengah buat ‘job grab’. Sumber pendapatan utama keluarga.
“Lepas hantar barang, pergi tempat ‘parking’, motosikal hilang. Ada orang bagi surat tunggakan beribu jumlahnya. Terduduk si ayah, motosikal kenderaan utama untuk cari makan kena tarik,” tulisnya di hantaran itu hari ini.
Cikgu Fadli berkata, beliau kagum dengan kesungguhan bapa itu tetap menghantar anak-anak mereka ke sekolah walaupun tiada motosikal dan pada hari orientasi semalam lelaki tersebut bersama isterinya datang mendengar taklimat.
Ujarnya, tidak ramai ayah yang sanggup datang hari orientasi, biasanya wakil ibu sahaja.
“Bagus semangat si ayah walau dia sendiri tak ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Aku cukup suka orang seperti ini, menjaga hak anak-anak dan pentingkan pelajaran.
“Habis program tadi, aku suruh dia tunggu depan pagar sekolah. Aku hantar keluarga mereka pulang, sebaik dia nak turun aku tahan, abang ikut saya, kakak dan anak naik rumah lah,” ujarnya.
Lantas, Cikgu Fadli membawa lelaki itu ke sebuah kedai motosikal di Batu Caves dan telah membeli sebuah motosikal baharu untuknya.
“Masa pulang tadi, berkali-kali dia ucap terima kasih cikgu, saya tak tahu nak balas budi cikgu macam mana, saya doakan cikgu terus murah rezeki.
“Budi ini bukan untuk dibalas. Budi ini untuk abang kembalikan pada orang lain bila abang senang sikit di hari akan datang. Dan sumbangan ini bukan dari poket saya seorang. Doakan semua penyumbang ya,” katanya.
Semakan di laman itu mendapati perkongsian tersebut dihujani dengan pujian dan ucapan tahniah warga maya atas sikap prihatin Cikgu Fadli terhadap anak muridnya.
Sehingga kini, hantaran tersebut mendapat lebih 32,000 tanda suka dan telah dikongsi oleh 1,357 warga maya. – Malaysiapost